Friday, 2 January 2015

KELEBIHAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran banyak memberi kesan yang baik kepada murid-murid khususnya yang di sekolah rendah. Namun begitu terdapat juga kelemahan yang timbul kesan daripada penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.

  • Pelaksanaan ICT dalam Pendidikan 


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan pelaksanaan sebagai perihal, perbuatan atau proses melaksanakan sesuatu rancangan, manakala ICT pula adalah singkatan daripada Information and Communication Tecnology atau Melayunya Teknologi Maklmat dan Komunikasi. Teknologi membawa pengertian alat yang digunakan oleh manusia dan alat yang ada pada manusia iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran dalam ilmu tertentu untuk menyelesaikan masalah hidup. Maklumat merujuk kepada makluman, pemberitahuan, keterangan, butir-butir, dan pengetahuan. Komunikasi bererti perhubungan secara langsung atau dengan perantara surat, radio, telefon dan lain-lain komunikasi atau penghubung dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya. Pendidikan membawa erti perihal mendidik, didikan, latihan, atau ajaran. Jadi maksud pelaksanaan ICT dalam pendidikan membawa maksud menggunakan ICT secara saintifik, terancang, dan bersesuaian demi meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran.



  • Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran



Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Hal ini kerana guru dapat membuat persiapan dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui cara ini guru dapat mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik seterusnya dapat menyampaikan kepada pelajar secara berkesan. Melalui penggunaan alat ICT sebagai alat bantu mengajar maka proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik dan dan berkesan contohnya menggunakan alat seperti powerpoint, flash, video, visual dan mereka hanya perlu mengaplikasikan alatan tersebut ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui cara ini proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami. Justeru itu pelajar tidak akan mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran kerana tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui ICT.
Di samping itu kesan penggunaan ICT ialah dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Dengan adanya ICT guru dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dan bukan hanya tertumpu kepada teknik pengkuliahan sahaja bahkan dapat mempertingkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat dalam ICT. Melalui penggunaan alat ICT guru dapat menerangkan kepada pelajar dengan lebih terperinci serta mendalam mengenai sesuatu subjek. Contohnya penggunaan internet sebagai alat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai dunia pendidikan. Kemahiran menggunakan internet membolehkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta efisen tanpa perlu menunggu masa yang lama seterusnya dapat di gunakan dalam aktiviti pembelajaran. Melalui cara ini kualiti pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan kerana maklumat-maklumat dapat terus di akses kedalam sistem.

Dasar Pembangunan Negara dalam Rancangan Malaysia Kelapan (2001 – 2005) menegaskan kepentingan membangunkan dan memperluaskan penggunaan teknologi maklumat dalam pembangunan pendidikan. Langkah ini bertujuan merancakkan pertumbuhan, melatih profesional, meningkatkan produktiviti, memodenkan pengurusan teknologi maklumat dan pengetahuan, mengurangi jurang digital, dan mempastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada ICT. 

Sektor pendidikan menjadi agen perubahan bagi mempertingkatkan kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan generasi muda. Keperluan terhadap penggunaan ICT dalam pendidikan amat dirasai kerana ICT telah menjadikan dunia pendidikan sebagai hak milik pelbagai lapisan masyarakat di mana pelbagai maklumat dan sumber pendidikan dapat dicapai walau di mana jua berada. Pengaruh dan kemajuan era ICT mencetuskan inovasi dalam pengurusan pendidikan, penilaian, serta pengajaran dan pembelajaran.
Kewujudan masyarakat berpendidikan yang terbentuk melalui pembudayaan komputer, internet, dan multimedia menzahirkan kewujudan masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan. Bangsa yang maju adalah bagsa yang mementingkan perkembangan intelektual yang dirintis oleh kemajuan dunia pendidikan. Dalam konteks ini teknologi maklumat berperanan untuk meluaskan penyebaran pemikiran manusia sebagai agen revolusi sosial


  • Kelebihan penggunaan ICT



Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting kerana ia dapat meningkatkan kemahiran guru dan pelajar. Melalui penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar akan didedahkan dengan pelbagai alatan dan bahan mengenai ICT seperti komputer, LCD, CD, pendrive, hardware, software, internet dan sebagainya. Semua benda yang berkenaan dengan ICT mempunyai berbagai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran disekolah. Hal ini kerana melalui penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar akan lebih menguasai teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu dalam memahami setiap subjek yang dipelajari serta menyimpan, memproses dan merekod setiap maklumat yang diperolehi. Kemahiran dalam menggunakan ICT ini mampu memberi nilai tambah kepada guru agar dapat menggunakannya untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar agar ianya mudah untuk di fahami. Di samping itu guru juga dapat menambahkan pengetahuan mengenai sistem ICT melalui pengalaman yang diperolehi semasa menjalankan proses pengajaran tersebut. Ini kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar akan saling berinteraksi tentang apa yang dipelajari serta bertukar pendapat mengenai keberkesanan menggunakan sistem ICT ini disamping memberi cadangan bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian. Melalui cara ini guru dan pelajar akan berusaha lagi menambahkan pengetahuan mengenai teknologi ICT ini.


 Dalam era dunia tanpa sempadan ini guru dan pelajar perlu menggunakan setiap teknologi yang ada agar tidak ketinggalan khususnya di dalam bidang pendidikan yang banyak menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan yang mendalam mengenai ICT amat penting bagi guru agar ianya dapat di aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaranbagi memudahkan lagi pemahaman murid Selain itu manfaat yang diperolehi kesan daripada penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah dapat memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan. Di dalam sesebuah kelas tidak semua pelajar mempunyai kebolehan yang sama dalam menerima sesuatu yang diajar oleh guru. Justeru itu melalui penggunaan ICT murid-murid dapat memahami apa yang diajar dengan lebih jelas kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik serta berkesan hasil daripada penggunaan alatan ICT tersebut. Contohnya melalui pengunaan alat seperti powerpoint, grafik, audio, video dan sebagainya maka murid-murid akan lebih memahami setiap apa yang di ajar kerana di beri gambaran dan persembahan dan persembahan yang lebih mudah untuk difahami berbanding dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk pengkuliahan. Melalui cara ini setiap masalah yang timbul dapat segera dimaklumkan oleh pelajar kepada guru kerana mereka mudah bertindak balas terhadap sistem yang diajar menggunakan ICT. 

Sehubungan dengan usaha Merapatkan Jurang Digital dan Memperkasakan Sekolah Kebangsaan yang terkandung dalam PIPP, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai projek, antaranya: Projek Rintis Sekolah Bestari ; Projek Schoolnet dan MySchoolNet ; Makmal Pengkomputeran; TV Pendidikan (TVP); P & P Matematik Dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ; Mata Pelajaran ICT diperkenalkan ; Latihan ICT untuk Guru; Projek Pengkomputeran Pengurusan. Kementerian Pelajaran (KPM) menyediakan infrastruktur, perkakasan dan perisian yang lengkap dan mencukupi serta latihan dan bimbingan kepada guru-guru untuk membolehkan ICT digunakan dalam P & P. . KPM telah melengkapkan lagi kemudahan saluran komunikasi di sekolah dengan akses jalur lebar melalui kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta merangkaikan infrastruktur dan perkakasan ICT melalui rangkaian setempat atau teknologi tanpa wayar. 

ICT dalam pendidikan merujuk kepada penggunaan perkakasan dan perisian komputer yang diintegrasikan dengan multimedia dan internet yang diaplikasi dan digunakan secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam institusi pendidikan khususnya di sekolah. Multimedia merupakan pelbagai media yang digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai yang merangkumi teks, grafik, audio, video, dan animasi. 
Rujukan :

1)Kamus Dewan Edisi Ke-4,DBP KL, 2007

2)Profesionalisme Keguruan Prospek Dan Cabaran, Abdul Rahim bin Abdul Rashid, DBP KL.2005
3)Rancangan Malaysia Ke – 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006 – 2010 Edisi pelancaran.KPM, 200

No comments:

Post a Comment